SARAWAK, 2 November 2026 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meraikan seramai 100 pengamal media menerusi penganjuran Malam Media KPWKM@Sarawak pada 31 Oktober lalu sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan peranan media dalam menyebarluaskan inisiatif kementerian kepada masyarakat.
Program anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPWKM itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kementerian dengan pengamal media sebagai rakan strategik dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua rakan media atas komitmen dan usaha mereka membuat liputan sepanjang tahun ini.
Beliau turut menegaskan bahawa hasil kerja media melalui penulisan artikel, laporan berita dan pelbagai bentuk penyampaian maklumat memberikan impak besar kepada masyarakat.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan simbolik tiga kempen KPWKM yang dilaksanakan menerusi jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.
-Advertisement-
Tiga kempen tersebut ialah Kempen Kesejahteraan Emosi “Awak OK Tak?”, Kempen Keganasan Rumah Tangga “Berani Bertindak, #JanganDiam” serta Kempen Sektor Penjagaan “Ilmu Menjaga, Kasih Dirasa; #KitaSamaJaga”.
Selain itu, acara cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan majlis serta memberi peluang kepada pengamal media membawa pulang hadiah sebagai tanda kenang-kenangan daripada kementerian.
KPWKM berharap kerjasama erat dengan pihak media akan terus diperkukuh bagi memastikan maklumat berkaitan dasar, fungsi dan inisiatif kementerian dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dato’ Ruziah Haji Shafei; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Mohd Daud Mohd Arif; serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan persekutuan dan negeri. – The Capital Post