KKR Tinjau Projek Infrastruktur Manjung

Estimate Reading Time: 2 minutes

PERAK, 4 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan pembangunan infrastruktur negara dilaksanakan secara berkesan menerusi lawatan turun padang Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan ke beberapa projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur di Manjung, Perak hari ini.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau status pelaksanaan projek melibatkan jalan raya, jambatan, bangunan awam serta fasiliti pendidikan bagi memastikan setiap kemudahan yang dibangunkan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah pegawai KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Manjung yang memberikan taklimat berkaitan perkembangan projek serta kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur di kawasan tersebut.

JKR Daerah Manjung kini bertanggungjawab menyelenggara sepanjang 168.837 kilometer (km) Jalan Persekutuan dan 174.06 km Jalan Negeri. Sehingga Julai 2026, sebanyak RM8.14 juta telah diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan melibatkan pembaikan jalan, sistem perparitan, garisan jalan serta penyelenggaraan jambatan.

Dalam aspek infrastruktur jambatan, Projek Menggantikan Jambatan FT71/17/300 bernilai RM8.04 juta sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya. Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan dua projek di bawah RMK13 Rolling Plan 1 iaitu Projek Menggantikan Jambatan FT60/42/50 Sungai Beruas bernilai RM32.2 juta serta kerja awalan Projek Menaik Taraf Lebuhraya Tanjung Malim–Lumut bernilai RM5 juta.

Bagi sektor bangunan pula, sebanyak lapan Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM32.3 juta sedang dilaksanakan, termasuk projek pembinaan dan penambahbaikan kemudahan pendidikan serta kerja menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis.

Turut diberi perhatian ialah pelaksanaan Program Cakna MADANI menerusi pembinaan tambahan 15 bilik darjah Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027 melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, SK Seri Samudera dan SK Nakhoda Muhammad Taib.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.2 juta turut disediakan bagi dua projek penyelenggaraan bangunan Persekutuan melibatkan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Jabatan Peguam Negara serta kerja menaik taraf apron dan pembaikan longkang di Hospital Seri Manjung.

YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa KKR akan terus memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan serta kualiti yang ditetapkan demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat.

Komitmen berterusan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemudahan awam, meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan. -The Capital Post

-Advertisement-