KPM Hargai Kecemerlangan Kokurikulum AIK 2025

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyempurnakan Majlis Anugerah Inspirasi Kokurikulum (AIK) Kementerian Pendidikan (KPM) Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan warga pendidikan dalam bidang kokurikulum.

AIK merupakan pengiktirafan tertinggi KPM yang diberikan kepada murid, guru, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pegawai pusat kokurikulum yang menunjukkan pencapaian cemerlang dan komitmen tinggi dalam pembangunan aktiviti kokurikulum.

Sebanyak lapan kategori anugerah telah disampaikan bagi menghargai sumbangan serta kejayaan warga pendidikan dalam memperkukuh budaya kokurikulum sebagai elemen penting dalam membentuk murid yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kemahiran kepimpinan.

Penganugerahan tersebut selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan terhadap pembangunan murid secara holistik, berdaya saing dan berakhlak mulia.

-Advertisement-

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim serta barisan pengurusan tertinggi kementerian dan warga pendidikan.

Melalui pengiktirafan ini, KPM terus memperkukuh peranan guru dan warga pendidikan sebagai pemangkin utama dalam melahirkan generasi berilmu, berketerampilan serta mampu menghadapi cabaran masa hadapan. – The Capital Post