KDN Sabah Rai 524 Penerima Anugerah Kecemerlangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan pengiktirafan kepada seramai 524 warga kerja jabatan dan agensi di bawah kementerian itu menerusi Anugerah Kecemerlangan Tahun 2025 Peringkat Negeri Sabah sebagai penghargaan terhadap prestasi, komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada negara.

Majlis pengiktirafan tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian para penerima, malah menjadi platform untuk memperkukuh budaya kerja cemerlang yang berteraskan nilai amanah, integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik Jeman menegaskan bahawa integriti merupakan asas utama dalam membina kewibawaan seseorang penjawat awam, di samping memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara.

Menurut beliau, walaupun pembangunan fizikal, dasar dan teknologi sentiasa berubah mengikut peredaran masa, nilai kejujuran, amanah dan integriti akan terus menjadi ukuran penting dalam menentukan kecemerlangan seseorang individu serta organisasi.

-Advertisement-

Pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin kepada seluruh warga KDN untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, mengekalkan budaya kerja berprestasi tinggi serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam menghargai sumbangan warga kerjanya serta memperkukuh kecemerlangan organisasi melalui pembudayaan nilai integriti dan tadbir urus yang baik. – The Capital Post