PUTRAJAYA, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) KKDW Bilangan 19, 20 dan 21 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada pemantauan pelaksanaan pelbagai dasar, program dan inisiatif KKDW bersama agensi di bawahnya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih cekap, berkesan serta memberikan impak yang signifikan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha memperkasa program keusahawanan desa serta perancangan komunikasi dan promosi bagi inisiatif Desa Kirana sebagai sebahagian daripada usaha memperluas manfaat pembangunan kepada komuniti luar bandar.
-Advertisement-
Mesyuarat itu turut diteruskan dengan sesi penyerahan buku MyRural Insight bertajuk “Satu Sumber, Pelbagai Impak” kepada barisan pengurusan tertinggi KKDW. Penerbitan tersebut menghimpunkan dapatan penyelidikan serta analisis berkaitan dasar yang boleh menjadi rujukan dalam menyokong perancangan pembangunan luar bandar.
KKDW menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pembangunan desa yang mampan, inklusif dan berdaya saing melalui pendekatan strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran komuniti luar bandar. – The Capital Post