KPN-Thong Empire Angkat Warisan Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melancarkan kolaborasi strategik bersama Thong Empire menerusi inisiatif bertemakan “Warisan Dalam Perpaduan Pada Setiap Suapan” bagi mempromosikan warisan budaya negara melalui pendekatan kreatif dan lebih dekat dengan masyarakat.

Majlis peluncuran yang berlangsung di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid. Kerjasama tersebut melibatkan Muzium Tekstil Negara, Muzium Negara, Thong Bowl dan Thong Cha Plus dalam memperkenalkan produk warisan yang diinspirasikan daripada koleksi muzium sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Antara produk yang diperkenalkan ialah pin koleksi yang menampilkan enam motif tekstil tradisional negara, iaitu Pucuk Rebung, Burung Phoenix, Burung Merak, Kuda, Nabau (Ular) dan Bunga Raya. Selain itu, syiling emas edisi terhad turut dilancarkan dengan menampilkan imej Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai simbol perpaduan, sejarah serta kepelbagaian budaya Malaysia.

-Advertisement-

Inisiatif berkenaan bertujuan mengangkat nilai sejarah, warisan dan identiti nasional melalui pendekatan yang lebih inovatif, sekali gus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Dalam ucapannya, Dato’ Haslina berkata kolaborasi tersebut mencerminkan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh usaha memelihara serta mempromosikan warisan negara kepada generasi masa kini dan akan datang. – The Capital Post