PUTRAJAYA, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kerajaan meneliti pengalaman dan amalan terbaik Singapura dalam penganjuran perlumbaan Formula 1 sebagai persediaan memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung dengan cemerlang pada Oktober depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan beliau dengan Pengarah Eksekutif Grand Prix Singapura, Michael Roche, bagi mendapatkan pandangan serta perkongsian berkaitan pengurusan acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Menurut beliau, penganjuran perlumbaan tersebut diyakini mampu memberi impak ekonomi yang signifikan melalui peningkatan sektor pelancongan, penciptaan peluang pekerjaan, pertumbuhan aktiviti perniagaan serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
-Advertisement-
Beliau berkata acara berprestij itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan dan penganjuran acara antarabangsa.
Anwar menegaskan kerajaan komited memastikan penganjuran Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau yang mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan ekonomi negara. – The Capital Post