Perak Sasar 50 Emas di SUKMA 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kontinjen Perak meletakkan sasaran meraih 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 serta 25 pingat emas bagi Para SUKMA dalam usaha menempatkan negeri itu dalam kelompok lima terbaik kejohanan.

Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada misi Silver to Gold yang diyakini mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi serta potensi dimiliki atlet negeri itu.

Menurut beliau, pencapaian 50 pingat emas bukan sahaja mampu meletakkan Perak dalam kelompok terbaik, malah berpotensi memecahkan rekod 49 pingat emas yang dicatatkan pada SUKMA Sabah 2002, sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun.

Beliau berkata tumpuan utama akan diberikan kepada sukan akuatik melibatkan renang dan terjun, menembak, memanah, olahraga, sukan kombat serta beberapa acara wanita yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama pingat emas.

Saarani berkata setiap atlet memainkan peranan penting sama ada sebagai sandaran utama, mempertahankan kejuaraan mahupun mencipta kejutan, sekali gus menyeru seluruh kontinjen memberikan aksi terbaik sepanjang temasya berlangsung.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, yang turut dihadiri barisan kepimpinan kerajaan negeri serta pegawai sukan.

Bagi menghargai pencapaian atlet, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menyediakan insentif RM6,000 bagi pemenang pingat emas acara individu, RM3,000 bagi perak dan RM1,500 bagi gangsa. Insentif turut diberikan kepada acara berpasukan, atlet yang memecahkan rekod, jurulatih, pengurus pasukan dan persatuan sukan mengikut kadar yang ditetapkan.

Pada majlis sama, Saarani turut menyempurnakan penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen SUKMA Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Kontinjen Para SUKMA Negeri Perak, Muhammad Danial Azli sebagai simbol kesiapsiagaan menghadapi temasya tersebut.

SUKMA XXII Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, dengan Kontinjen Perak kini berada di peringkat akhir persiapan bagi menghadapi saingan dalam 37 jenis sukan membabitkan 468 acara yang akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Nilai. – The Capital Post