KAMPAR 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan penganjuran MOSTI TECHTalks Siri 3/2026 dengan memberi tumpuan kepada perkembangan serta potensi industri semikonduktor negara menerusi program yang berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.
Bertemakan Malaysia’s Semiconductor Industry: Trends and Opportunities, program itu menampilkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, bersama Pengarah Kanan Infineon Technologies Kulim, Tan Soon Keong, sebagai panel jemputan bagi berkongsi pandangan mengenai hala tuju industri semikonduktor Malaysia.
Dalam sesi tersebut, Chang berkata MOSTI komited memperkasa pelaksanaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), termasuk melahirkan 10,000 bakat tempatan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design) menerusi kerjasama antara MIMOS dan ARM. Beliau berkata inisiatif itu turut menyokong sasaran mewujudkan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
-Advertisement-
Sementara itu, Tan berkata industri semikonduktor global dijangka berkembang sehingga mencapai nilai USD1.29 trilion menjelang tahun 2030. Beliau turut menegaskan Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk terus muncul sebagai hab inovasi melalui pembangunan modal insan berkualiti serta kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
Program yang menghimpunkan lebih 250 pelajar, pensyarah dan kakitangan UTAR itu turut menjadi platform perkongsian ilmu bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), selain mempererat hubungan strategik antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post