MINDEF Tinjau Keupayaan Industri Pertahanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEMENYIH, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh kerjasama dengan industri pertahanan tempatan menerusi lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali ke Firm High Resources Sdn. Bhd. bagi menilai keupayaan syarikat dalam menyokong penyelenggaraan dan logistik aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lawatan yang diadakan pada 7 Ogos itu bertujuan meninjau keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan alat ganti kenderaan serta sokongan logistik bagi memastikan aset ATM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang optimum.

Sepanjang lawatan, Datuk Lokman Hakim Ali diberikan taklimat mengenai kapasiti teknikal, kemudahan operasi serta kompetensi syarikat dalam melaksanakan penyelenggaraan aset pertahanan. Penilaian turut memberi fokus kepada aspek kecekapan penyampaian perkhidmatan, daya tahan rantaian bekalan dan keupayaan industri tempatan memenuhi keperluan strategik pertahanan negara.

-Advertisement-

MINDEF menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan syarikat tempatan yang berkeupayaan dalam membangunkan ekosistem industri pertahanan yang lebih berdaya saing, mampan dan berdaya tahan.

Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan kapasiti industri domestik, peningkatan kesiapsiagaan aset ATM serta jaminan kelangsungan sokongan logistik bagi memperkukuh kedaulatan dan keselamatan negara. – The Capital Post