KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia melancarkan ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts 2.0 (ACH-DNA 2.0), sebuah inisiatif serantau yang menghimpunkan pelbagai pihak dari ASEAN dan China bagi membentuk masa depan warisan budaya menerusi inovasi.
Dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Society of Creative Symphony (SCS), program itu meneruskan kejayaan penganjuran sulung pada 2024, selain memperkukuh diplomasi budaya dan kerjasama serantau.
Berlangsung dari 10 hingga 13 Ogos 2026 bertemakan “Reimagining Heritage Through Innovation”, ACH-DNA 2.0 menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik, penggiat budaya, pereka, pakar teknologi serta usahawan kreatif dari ASEAN dan China.
Program itu menyediakan platform bagi perkongsian ilmu, kerjasama rentas sempadan serta penerokaan peluang baharu dalam ekonomi kreatif, di samping menggalakkan penggunaan inovasi dan teknologi dalam pemeliharaan warisan budaya.
-Advertisement-
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff.
Beliau menekankan kepentingan menerima inovasi dalam usaha memelihara keaslian, identiti serta nilai budaya yang menjadi asas kepada warisan serantau.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, ACH-DNA 2.0 mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama budaya ASEAN-China, selain membuka ruang baharu dalam pemeliharaan warisan dan inovasi. – The Capital Post