KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkasakan warga Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam menerusi usaha memperkukuh agenda inklusiviti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan dasar kerajaan.
Unit Pengurusan Latihan dan Kompetensi, Bahagian Sumber Manusia KPKT menganjurkan Program Nadi Inklusif KPKT “Citra Luar Biasa: Inspirasi, Dedikasi, Prestasi” pada 7 Ogos lalu di Dewan Kristal, Aras B1, KPKT.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M. Noor Azman bin Taib, dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (P), YBhg. Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain; Timbalan Ketua Setiausaha (RK), YBrs. Tuan Zulkeflee bin Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (M), YBrs. Tuan Mohd Hazli bin Ahmad @ Adnan, serta ketua-ketua jabatan dan setiausaha bahagian KPKT.
Antara pengisian utama program ialah “Kopi Pagi Bersama KSU”, yang menyediakan ruang interaksi dan perkongsian secara santai antara warga KPKT dengan Ketua Setiausaha Kementerian.
-Advertisement-
Program turut menampilkan sesi bual bicara bertajuk “Melampaui Batasan, Menggapai Potensi” bersama Tuan Haji Mohd Hafiz bin Halim dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Encik Sukur bin Ibrahim, motivator serta usahawan IKS OKU.
Perkongsian pengalaman, cabaran dan kejayaan kedua-dua panel menjadi sumber inspirasi kepada warga KPKT untuk terus melangkaui batasan diri serta mencapai potensi yang lebih tinggi.
Turut diadakan slot motivasi dan inspirasi yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Hafiz, yang menekankan kekuatan diri, keyakinan serta kepentingan melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk berkembang.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Bahagian Sumber Manusia, KPKT, penganjuran Program Nadi Inklusif KPKT mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif, prihatin dan menghargai kepelbagaian keupayaan warga kementerian. – The Capital Post