MITI Pantau Lima Projek Pembangunan Bernilai RM37.4 Juta di Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, Sabah, 10 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob, menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Mesyuarat tersebut antara lain membincangkan dan menyelaras kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Negeri Sabah.

Pada tahun 2026, sebanyak lima projek pembangunan di bawah MITI sedang dilaksanakan di Sabah, melibatkan tiga kawasan perindustrian utama, iaitu Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC), dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM37.4 juta.

Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Hairil turut membentangkan perkembangan terkini pelaksanaan projek-projek berkenaan, termasuk cabaran yang dihadapi serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.

Beliau turut menekankan kepentingan agar kesemua projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan supaya manfaatnya dapat direalisasikan sepenuhnya dalam menyokong pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.

-Advertisement-

Secara keseluruhannya, MITI kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Pelaksanaan projek-projek ini diharap dapat terus memperkukuh ekosistem perindustrian dan pelaburan negeri, merancakkan aktiviti ekonomi, membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan, serta menjana limpahan ekonomi yang dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Sabah.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Ministry of Investment, Trade and Industry, Malaysia, pelaksanaan projek-projek pembangunan tersebut mencerminkan komitmen berterusan MITI dalam menyokong pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi Sabah. – The Capital Post