PUTRAJAYA 11 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi kunjungan hormat Cancer Research Malaysia (CRM) kepada Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, yang berlangsung semalam, 10 Ogos 2026.
Delegasi CRM diketuai oleh YBrs. Dr. Hjh Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Cancer Research Malaysia, dalam sesi pertemuan yang memberi tumpuan kepada perkembangan projek-projek CRM yang menerima pendanaan daripada MOSTI.
Perbincangan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelaksanaan projek berkaitan penyelidikan kanser, selain meneliti potensi kerjasama dalam memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan yang mampu memberi manfaat kepada bidang kesihatan serta masyarakat.
Sokongan terhadap aktiviti penyelidikan dan inovasi dilihat penting dalam memastikan Malaysia terus membangunkan kapasiti serta kepakaran tempatan dalam bidang STI, khususnya menerusi penglibatan organisasi penyelidikan, kerajaan dan pihak berkepentingan lain.
-Advertisement-
MOSTI turut menekankan kepentingan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh bagi memastikan agenda STI negara dapat diperkasakan secara berterusan dan diterjemahkan kepada impak yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kerjasama strategik antara kerajaan dan organisasi penyelidikan seperti CRM diharap dapat terus diperluas bagi menyokong pembangunan ekosistem penyelidikan negara yang lebih kukuh, inovatif dan berdaya saing. – The Capital Post