KUALA LUMPUR 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pendaftaran OKU (JKPOKU) Bil. 2 Tahun 2026 bagi memperkukuh tadbir urus serta menambah baik sistem pendaftaran dan pengiktirafan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan keanggotaan baharu JKPOKU bagi sesi 2026 hingga 2029 menerusi penglibatan pakar serta wakil daripada pelbagai bidang berkaitan.
Antara anggota baharu yang terlibat terdiri daripada wakil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pakar genetik klinikal dari UTAR, pakar neurologi Hospital Kuala Lumpur, Bahagian Pengurusan Maklumat JKM serta Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS).
Mesyuarat turut membincangkan beberapa perkara utama termasuk kajian keperluan penggunaan Kad OKU secara fizikal dan digital, cadangan pelantikan Duta OKU serta analisis semasa landskap pendaftaran OKU di Malaysia berdasarkan data sehingga 31 Julai 2026.
-Advertisement-
Dalam usaha memastikan proses pendaftaran kekal relevan dengan keperluan semasa, JPOKU turut meneliti penambahbaikan terhadap Garis Panduan Pendaftaran OKU dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan dan ahli terapi. Penambahbaikan berkenaan akan diselaraskan bersama peningkatan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).
Pendaftaran OKU bukan sekadar menjadi mekanisme pengiktirafan, malah penting bagi membantu memastikan golongan tersebut memperoleh akses sewajarnya kepada hak, kebajikan, perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan. Usaha memperkukuh ekosistem pendaftaran ini diharap dapat memastikan golongan OKU tidak tercicir daripada arus perkhidmatan dan pembangunan negara. – The Capital Post