xStocks Perluas Ekuiti Bertoken UK Dan EU

Estimate Reading Time: 2 minutes

ST. HELIER, JERSEY 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Platform ekuiti bertoken xStocks memperluas rangkaian asetnya dengan melancarkan lebih 200 saham syarikat tersenarai di United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) ke dalam ekosistem rantaian blok, sekali gus menjadi peluasan terbesar platform itu setakat ini di luar pasaran Amerika Syarikat (AS).

Pelancaran kumpulan pertama aset berkenaan dibangunkan oleh Payward menerusi kerjasama berterusan dengan GTN, sebuah syarikat teknologi kewangan yang menyediakan infrastruktur pelaburan global. Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan aset bertoken xStocks melebihi 1,500.

Fasa pertama merangkumi lebih 200 syarikat yang sahamnya aktif didagangkan di UK dan EU, manakala lebih banyak saham dijangka diperkenalkan secara berperingkat.

Setiap token disandarkan kepada saham asas pada nisbah 1:1 dan menggunakan infrastruktur terbuka yang boleh diprogramkan. Aset baharu itu boleh didagangkan menerusi Kraken serta platform yang menyokong xStocks Alliance, selain disepadukan dalam ekosistem kewangan tidak berpusat (DeFi) seperti Solana, Ethereum, TON, Ink dan X Layer.

Struktur sandaran tersebut membolehkan setiap token yang diterbitkan dipadankan dengan pembelian saham asas yang disimpan oleh kustodian terkawal selia sepanjang tempoh token itu didagangkan. Mekanisme itu membolehkan permintaan daripada pelabur dalam ekosistem rantaian blok disalurkan semula kepada pasaran saham syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Komersial Payward, Mark Greenberg berkata, peluasan itu merupakan langkah ke arah membina pasaran global yang membolehkan pelabur memperoleh pemilikan saham syarikat tersenarai tanpa terlalu bergantung pada lokasi, mata wang atau broker tempatan.

Menurut beliau, lebih 200 penyenaraian UK dan Eropah yang dibawa ke rantaian blok membuktikan potensi pendekatan tersebut, dengan pasaran antarabangsa lain turut menjadi sasaran peluasan seterusnya.

Pengembangan itu menyusuli kerjasama Payward dengan Bursa Saham London bagi memajukan usaha pentokenan, termasuk rancangan menokenkan 100 ekuiti terbesar yang disenaraikan di London sebagai xStocks.

Pada 2027, tertakluk kepada kelulusan kawal selia, Bursa Saham London berhasrat menyenaraikan xStocks dan memulakan dagangannya menerusi platform LSE 24.

-Advertisement-

UK dan EU merupakan pasaran peluasan pertama yang direalisasikan melalui kerjasama Payward Services dengan GTN. GTN menyediakan pelaksanaan dagangan global serta perkhidmatan penjagaan aset tradisional yang menjadi sandaran setiap token.

Ketua FinTech Global GTN, Ankit Shah berkata, gabungan infrastruktur pembrokeran dan penjagaan aset global GTN dengan rangka kerja xStocks membolehkan ekuiti UK dan EU diperkenalkan kepada kumpulan pelabur antarabangsa yang lebih luas.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama itu mencerminkan potensi gabungan ekosistem kewangan tradisional dan digital dalam meningkatkan akses, kesalingoperasian serta kecekapan pelaburan.

Dalam perkembangan seterusnya, ratusan ekuiti tersenarai di Hong Kong yang didagangkan secara terbuka dijangka menyusul dalam beberapa minggu akan datang, sebelum peluasan diteruskan ke pasaran antarabangsa lain.

Sejak dilancarkan pada Jun 2025, xStocks telah berkembang daripada perwakilan bertoken saham dan dana dagangan bursa (ETF) AS kepada rangkaian yang merangkumi lebih 1,500 aset, termasuk saham, ETF dan tawaran awam permulaan (IPO).

Platform itu dilaporkan mempunyai aset di bawah pengurusan bernilai lebih US$1.1 bilion, dengan jumlah volum transaksi melebihi US$45 bilion serta lebih 550,000 pemegang unik di seluruh dunia.

Bagaimanapun, pengedaran dan kelayakan pelabur kekal tidak berubah susulan peluasan terbaharu itu, dan xStocks masih tidak tersedia kepada pelabur di United Kingdom. – The Capital Post