SUBANG 14 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan maritim negara menerusi penerimaan empat helikopter AW189 baharu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi meningkatkan keupayaan operasi udara agensi tersebut.
Aset berkeupayaan tinggi itu dijangka memperluas jangkauan operasi, mempercepatkan tindak balas serta memperkukuh pelaksanaan tugas penguatkuasaan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pemindahan perubatan (MEDEVAC), pengawasan udara dan operasi khas.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, menyifatkan perolehan AW189 sebagai pelaburan strategik bagi memastikan keselamatan rakyat, kedaulatan negara serta kestabilan ekonomi terus terpelihara.
AW189 mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam dan ketahanan penerbangan sehingga lima jam, sekali gus membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih pantas termasuk di kawasan perairan yang jauh dari pesisir. Helikopter berkenaan dikendalikan oleh lima kru, mampu membawa sehingga 14 penumpang serta boleh beroperasi pada waktu siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca.
-Advertisement-
Keperluan terhadap aset udara moden semakin penting mengambil kira keluasan Zon Maritim Malaysia yang mencapai 556,285 kilometer persegi, selain ancaman keselamatan yang semakin kompleks termasuk kegiatan penyeludupan, jenayah rentas sempadan, pencerobohan sumber perikanan serta ancaman terhadap infrastruktur maritim.
Sehingga 24 Julai 2026, Maritim Malaysia merekodkan 116,192 pemeriksaan, 26,253 penggeledahan dan 562 tangkapan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion. Dalam tempoh sama, operasi CARILAMAT melibatkan 129 kes dengan 638 mangsa, menggambarkan skala tanggungjawab yang memerlukan sokongan aset berkeupayaan tinggi.
Pemodenan aset udara itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia, malah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi tindak balas kecemasan yang lebih pantas dan keupayaan menyelamatkan nyawa dengan lebih berkesan. Langkah tersebut turut memperkukuh tahap keselamatan nelayan, komuniti maritim, industri perkapalan, sektor pelancongan serta pengguna perairan negara. – The Capital Post