KLANG 15 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, mengadakan lawatan kerja ke Hyrax Oil Sdn. Bhd. di Klang bagi meninjau keupayaan industri tempatan dalam menyokong kesiapsiagaan pertahanan negara menerusi pengukuhan rantaian bekalan strategik.
Lawatan tersebut merangkumi sesi taklimat korporat, kunjungan ke makmal serta tinjauan terhadap fasiliti pengilangan syarikat bagi mendapatkan gambaran mengenai keupayaan dan kapasiti industri berkenaan.
Hyrax Oil Sdn. Bhd., sebagai salah sebuah syarikat tempatan yang berkembang dalam industri minyak pelincir, mempunyai kepakaran dalam menghasilkan produk minyak pelincir berprestasi tinggi serta telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di lebih 40 negara.
Keupayaan industri minyak pelincir turut mempunyai kepentingan strategik dalam sektor pertahanan kerana produk berkenaan menyokong tahap kebolehoperasian aset dan memastikan peralatan pertahanan dapat berfungsi pada tahap kesiapsiagaan yang optimum.
-Advertisement-
Selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), Kementerian Pertahanan terus memberi penekanan terhadap penglibatan industri tempatan dalam membangunkan ekosistem pertahanan yang berdaya tahan, berteknologi tinggi dan mampan.
Kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor industri akan terus diperkukuh bagi membangunkan keupayaan tempatan yang mampu memenuhi keperluan pertahanan negara secara lebih menyeluruh, selain meningkatkan daya saing industri strategik Malaysia. – The Capital Post