KLANG 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM42.99 juta menerusi empat kes berasingan yang dikesan antara Mei hingga Jun 2026.
Operasi berkenaan membabitkan sebanyak 63 kontena yang ditahan dan diperiksa oleh JKDM Selangor di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang bagi mengesan aktiviti penyeludupan serta ketirisan hasil negara.
Antara barangan yang dirampas termasuk rokok, minuman keras, barangan seks, besi buruk serta sisa plastik yang dipercayai cuba dibawa masuk atau keluar melalui kaedah yang melanggar peraturan ditetapkan.
Kejayaan operasi tersebut dikongsikan dalam satu sidang media oleh Pengarah Kastam Negeri Selangor, YBrs. Puan Noraidah binti Ishak, yang berlangsung di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara.
-Advertisement-
Tindakan penguatkuasaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JKDM Selangor dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan hasil negara serta mengancam kepentingan dan keselamatan negara.
JKDM Selangor turut menegaskan bahawa usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan menerusi pemantauan dan pemeriksaan berterusan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibendung secara lebih berkesan. – The Capital Post