SERDANG 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Persiapan bagi Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M terus diperkemas dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai rakan kolaborasi strategik serta tuan rumah bersama bagi menjayakan sambutan tahun ini.
Sebagai sebahagian daripada persiapan, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Bil. 3 telah diadakan pada 13 Ogos lalu bagi menyelaras pelbagai aspek penganjuran sambutan berkenaan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, yang turut memastikan persiapan sambutan dapat dilaksanakan secara teratur dan lancar.
-Advertisement-
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M bakal menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, selain menghayati nilai serta ajaran yang dibawa Baginda dalam kehidupan seharian.
Kerjasama strategik antara JAKIM dan UPM diharap dapat menyumbang kepada penganjuran sambutan yang penuh bermakna serta memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menghayati dan menyemarakkan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW. – The Capital Post