345 Graduan ILKKM Terima Skrol, Pikulkan Amanah Baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

PERAK 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 345 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ILKKM 2026 Zon Semenanjung bagi Sidang 6 yang berlangsung sebagai satu lagi detik penting dalam perjalanan pendidikan dan kerjaya mereka.

Penyampaian skrol kepada para graduan telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Fauziah binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pergigian), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam amanatnya, beliau mengingatkan para graduan bahawa kejayaan menamatkan pengajian bukanlah pengakhiran, sebaliknya menjadi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.

Beliau turut menyeru para graduan supaya terus memperkukuh pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta melaksanakan setiap amanah dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab, terutama ketika memberikan perkhidmatan kepada pesakit dan rakyat.

-Advertisement-

Nasihat tersebut diharap menjadi panduan kepada para graduan ketika melangkah ke alam pekerjaan serta menyumbang kepada pengukuhan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Turut hadir ialah YBrs. Dr. Ghazali bin Chik, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis; YBrs. Puan Emillia Rosnizar binti Ahmad Hanipiah, Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM; serta YBrs. Puan Fakriah binti Mat Hashim, Pengarah ILKKM Sultan Azlan Shah, Perak. – The Capital Post