Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah Diserah Kepada KPM

Estimate Reading Time: < 1 minute

TANAH MERAH 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Projek pembinaan baharu Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah, Kelantan, telah diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memperkukuh penyediaan kemudahan pendidikan berkualiti di negeri itu.

Majlis penyerahan projek disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan kepada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina binti Sidek.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi pihak KPM tersebut merupakan antara inisiatif pembangunan pendidikan yang bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran moden, selamat dan kondusif kepada para pelajar.

Pelaksanaan projek berkenaan berjaya memenuhi keperluan kontrak serta piawaian teknikal, keselamatan dan kualiti yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan projek pembangunan awam dilaksanakan secara cekap dan berintegriti.

Sekolah tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk blok akademik, makmal dan bengkel, bangunan pentadbiran, asrama pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, surau, dewan serbaguna serta kuarters guru dan kemudahan sokongan lain.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur pendidikan yang berkualiti merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPM, JKR Negeri Kelantan, agensi teknikal, kerajaan negeri, kontraktor Cakna Enterprise Sdn. Bhd. serta seluruh pasukan projek atas komitmen yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek.

Menurut beliau, setiap projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya bukan sahaja perlu disiapkan mengikut jadual dan peruntukan ditetapkan, malah mesti memenuhi tahap kualiti, keselamatan dan kemampanan yang tinggi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh panjang.

Kemudahan baharu ini dijangka memberikan manfaat besar kepada sektor pendidikan Kelantan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang lebih lengkap dan kondusif, di samping menyokong usaha KPM memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi yang cemerlang dalam akademik, sahsiah, kepimpinan dan inovasi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post