KPWKM Hayati Akhlak Rasulullah Sempena Maulidur Rasul

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Surau Al-Hasanah KPWKM menganjurkan Ceramah Program Penghayatan Nilai-Nilai Islam Siri 5/2026 sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H.

Program yang mengangkat tema “Inspirasi Khidmatul Ummah (Melayani Umat) Gaya Rasulullah” itu menghimpunkan kira-kira 75 warga KPWKM, jabatan dan agensi di Auditorium Aras KPWKM.

Ceramah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi bin Azmi, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, yang berkongsi mengenai keperibadian serta akhlak Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam membina hubungan sesama manusia dan melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Perkongsian turut mengetengahkan cara Rasulullah SAW berinteraksi dengan ahli keluarga, wanita, masyarakat serta golongan orang kurang upaya (OKU), dengan menekankan nilai kasih sayang, empati, ihsan dan penghormatan terhadap maruah setiap individu.

-Advertisement-

Program tersebut bukan sahaja memberikan pengisian kerohanian kepada peserta, malah menyemai kesedaran untuk menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian dan pelaksanaan tugas.

Penghayatan nilai berkenaan diharap dapat diterjemahkan melalui pembentukan budaya kerja yang lebih berintegriti, prihatin dan berempati, selaras dengan konsep Khidmatul Ummah serta aspirasi KPWKM untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada masyarakat. – The Capital Post