KUALA LUMPUR 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kem Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 22 Ogos di Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan 30 finalis terbaik dari seluruh negara bagi mengembangkan potensi generasi muda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, khususnya nanoteknologi.
Mengangkat tema “Nano Meets Bio: Nanotechnology in Biomedical Sciences”, ONM 2026 memberi peluang kepada peserta meneroka penggunaan nanoteknologi dalam bidang sains bioperubatan, selain mengasah kemahiran berfikir secara kritikal, kreativiti, penyelesaian masalah dan inovasi.
Pelbagai aktiviti turut disusun sepanjang kem berkenaan, termasuk program pembinaan pasukan, sesi interaktif serta lawatan pembelajaran dan industri ke IMU University, Institut Biosains (IBS), UPM dan MIMOS Berhad.
Pendedahan tersebut membolehkan para peserta melihat dengan lebih dekat bagaimana hasil penyelidikan nanoteknologi boleh dikembangkan kepada aplikasi sebenar, khususnya dalam bidang sains bioperubatan, teknologi kesihatan serta inovasi berteknologi tinggi.
-Advertisement-
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu turut diharap dapat menyemarakkan minat terhadap bidang sains serta membuka perspektif lebih luas mengenai peluang pengajian, penyelidikan dan kerjaya dalam bidang nanoteknologi dan teknologi termaju.
Penganjuran ONM 2026 mencerminkan komitmen Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) dalam memperkukuh pembangunan bakat serta membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif tersebut juga menjadi platform untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu yang berpotensi menjadi saintis, penyelidik, inovator serta teknologis masa hadapan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan nanoteknologi sebagai bidang strategik dalam pembangunan teknologi negara. – The Capital Post