Tiga Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Lori Imigresen

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 19 Ogos 2026 – Tiga sekeluarga maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di lokasi ialah seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun. Isteri dan ibu kepada mangsa, seorang wanita berusia 55 tahun, turut cedera dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori Isuzu Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Proton Saga, sebuah Inokom Matrix serta empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun tanpa penumpang dan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).

Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat menunjukkan warna merah, dengan lampu beacon serta siren kecemasan diaktifkan. Pada ketika sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus apabila lampu isyarat memihak kepadanya.

Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan di tengah persimpangan. Impak pelanggaran menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar empat pejalan kaki yang terdiri daripada sebuah keluarga.

-Advertisement-

Kemalangan itu turut melibatkan sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan sedang berhenti di persimpangan ketika kejadian. Ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.

Polis telah menahan pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga bagi membantu siasatan. Pemeriksaan pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu juga menunjukkan keputusan negatif.

Pihak polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengenal pasti saksi bebas serta membawa kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN