PUSPANITA NRES Perkukuh Peranan Wanita Di Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

SARAWAK 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Program Turun Padang Penasihat PUSPANITA Cawangan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Pegawai Wanita Jabatan dan Agensi di bawah NRES Negeri Sarawak menjadi platform untuk mempererat hubungan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga wanita kementerian.

Ketua Setiausaha NRES, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, menekankan kepentingan jalinan kerjasama yang kukuh antara jabatan dan agensi dalam memperkasakan peranan wanita dalam perkhidmatan awam.

Menurut beliau, pembangunan profesional, pengukuhan kepimpinan serta kesejahteraan warga wanita perlu terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat menyumbang secara lebih berkesan kepada organisasi dan agenda kementerian.

Program berkenaan turut menyediakan ruang untuk warga wanita NRES bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama, selain menyemarakkan budaya kerja yang cemerlang, berintegriti dan terbuka kepada inovasi.

-Advertisement-

Inisiatif turun padang itu juga mencerminkan usaha berterusan NRES dalam memperkukuh penglibatan wanita dalam mendukung agenda kelestarian alam, di samping memastikan aspek pembangunan modal insan terus diberi keutamaan.

Turut hadir Pengerusi PUSPANITA Cawangan NRES, YBhg. Datuk Nor Yahati Awang, bersama Pengarah-Pengarah Jabatan dan Agensi Negeri Sarawak termasuk JUPEM, JMG, MET Malaysia dan JKGPTG serta barisan pengurusan tertinggi PUSPANITA Cawangan NRES. – The Capital Post