KUALA LUMPUR 20 OGOS 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari meneruskan komitmen terhadap kebajikan warga Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) dengan mengadakan kunjungan kebajikan kepada dua bekas pegawai kanan ATM di Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.
Lawatan tersebut melibatkan mantan Panglima Tentera Darat Ke-16, Jeneral Tan Sri Dato’ Ismail bin Hassan (Bersara) yang menetap di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), serta mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Ke-8, Leftenan Jeneral Datuk Abdullah bin Samsudin (Bersara) di Ampang.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk mendekati golongan veteran, selain memahami keadaan semasa serta keperluan kebajikan mereka secara lebih dekat.
Dalam kunjungan tersebut, Jeneral Tan Sri Dato’ Ismail bin Hassan (Bersara) menerima Kad Veteran dan sebuah kerusi roda sebagai sebahagian daripada bantuan yang disalurkan menerusi program berkenaan.
-Advertisement-
Sementara itu, Leftenan Jeneral Datuk Abdullah bin Samsudin (Bersara) turut menerima Pingat PNBB (Congo), Kad Veteran dan kerusi roda sebagai penghargaan serta sokongan terhadap kebajikan beliau.
Turut bersama dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi bin Jamian (Bersara).
Pelaksanaan PVM mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan dan keperluan Veteran ATM terus diberi perhatian, termasuk melalui pendekatan turun padang serta kunjungan secara langsung kepada mereka. – The Capital Post