STEM Camp MOSTI 2026 Cetus Minat Murid terhadap Agro Teknologi Hijau

Estimate Reading Time: < 1 minute

SELANGOR 20 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperluas usaha membudayakan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda menerusi Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Cheding, Banting, Selangor pada 19 Ogos lalu.

Program yang memberi tumpuan kepada teknologi pertanian moden dan kelestarian alam sekitar itu dianjurkan oleh YTS Skills Resources dengan kerjasama Nextgen Resources, serta melibatkan penyertaan seramai 153 murid dari sekolah berkenaan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman digunakan bagi memberi peluang kepada peserta memahami teknologi hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui aktiviti secara teori dan praktikal.

Antara aspek yang diperkenalkan kepada murid termasuk asas STEM dan agro teknologi moden, konsep rumah hijau pintar serta sistem hidroponik. Peserta turut menjalankan eksperimen penanaman hidroponik bagi memahami dengan lebih jelas aplikasi teknologi dalam sektor pertanian.

Selain itu, program turut memperkenalkan teknologi tenaga solar menerusi aktiviti pemasangan dan pembukaan komponen solar berskala mini. Para peserta kemudiannya diberi peluang menggabungkan sistem hidroponik dengan tenaga solar melalui sesi praktikal.

-Advertisement-

Sebagai aktiviti kemuncak, murid terlibat dalam projek pembinaan model rumah hijau pintar yang menggabungkan elemen teknologi, tenaga solar dan sistem penanaman hidroponik.

Penganjuran STEM Camp MOSTI 2026 dilihat mampu menyemai minat murid terhadap bidang STEM sejak peringkat awal, selain meningkatkan kefahaman mengenai penggunaan teknologi hijau dalam menyokong kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan negara.

Usaha berterusan seperti ini turut penting dalam membentuk generasi yang kreatif, berdaya saing dan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi yang dapat menyumbang kepada pembangunan teknologi serta masa depan yang lebih lestari. – The Capital Post