Tapak Hari Kebangsaan 2026 Diserah, 10,820 Peserta Bersedia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 memasuki fasa akhir apabila Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah, menerima penyerahan tapak sambutan daripada Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ Haji Mohd Sakeri Abdul Kadir, hari ini.

Majlis Serah Terima Tapak Sambutan Hari Kebangsaan 2026 itu berlangsung di Auditorium Tuan Azizan Zainul Abidin, Putrajaya dan menjadi simbolik kepada kesiapsiagaan lokasi bagi pelaksanaan acara kemuncak sambutan tahun ini.

Sambutan tersebut bakal menghimpunkan 77 kontinjen dengan penyertaan seramai 10,820 peserta, selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta pelbagai aset termasuk 328 aset konvensional, 22 aset kenderaan elektrik (EV) dan 112 aset hidup.

Sebagai kementerian peneraju sambutan, Kementerian Komunikasi merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Putrajaya serta semua jawatankuasa dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Kesiapsiagaan tapak dan penyelarasan pelbagai pihak menjadi antara elemen penting bagi memastikan acara kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dapat berlangsung dengan teratur, selamat dan lancar.

-Advertisement-

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) merangkap Setiausaha Jawatankuasa Kerja HKHM 2026, Datuk Aminurrahim Mohamed; Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa, Datuk Rozainor Ramli; serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Suzana Alias.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diharap bukan sahaja berlangsung dengan jayanya, malah mampu menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyat Malaysia. – The Capital Post