KESUMA Fokus Perlindungan Sosial dan Kemahiran dalam Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengemukakan beberapa keutamaan strategik berkaitan sektor tenaga kerja negara dalam Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semalam.

Delegasi KESUMA diketuai Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian.

Sesi libat urus tersebut menjadi ruang untuk KESUMA menyampaikan pandangan dan cadangan berkaitan keperluan sektor pekerjaan, khususnya dalam memastikan pembangunan tenaga kerja terus diberi keutamaan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Antara agenda yang diketengahkan ialah usaha memperluas perlindungan sosial supaya lebih inklusif dan menyeluruh, selain memperkukuh pembangunan bakat menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan kemahiran yang selari dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi masa hadapan.

-Advertisement-

KESUMA turut memberi perhatian kepada kesinambungan inisiatif yang menyokong pemerkasaan komuniti India sebagai sebahagian daripada usaha memastikan manfaat pembangunan tenaga kerja dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

Kementerian berkenaan menegaskan komitmen untuk memastikan cadangan dan keutamaan sektor tenaga kerja yang dibawa dalam sesi tersebut dapat diterjemahkan kepada langkah yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk peningkatan peluang pekerjaan, perlindungan sosial yang lebih kukuh dan pembangunan kemahiran yang relevan.

Usaha berkenaan diharap dapat menyumbang kepada pembentukan pasaran pekerjaan yang lebih berdaya tahan serta menyediakan asas kukuh untuk masa depan tenaga kerja Malaysia dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi. – The Capital Post