PUTRAJAYA, 24 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membincangkan usaha memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), susulan peningkatan permohonan yang melebihi kapasiti sedia ada.
Delegasi JTM yang diketuai Ketua Pengarah, YBhg. Dato’ Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad pada 24 Ogos 2026.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada kerjasama strategik antara JTM dan KPM bagi memastikan peningkatan permohonan ke aliran TVET dapat ditangani melalui penyelarasan yang lebih berkesan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah mekanisme perkongsian sumber serta penyelarasan pengambilan pelajar antara institusi di bawah JTM dan KPM.
-Advertisement-
Langkah berkenaan bertujuan memastikan lebih ramai bakat muda mendapat peluang mengikuti pendidikan TVET dan tidak tercicir susulan kekangan kapasiti institusi sedia ada.
Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperluas akses kepada pendidikan berasaskan kemahiran selaras dengan aspirasi memperkasa tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan masa depan.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Jabatan Tenaga Manusia, kunjungan tersebut memberi fokus kepada usaha memperkukuh agenda TVET melalui kerjasama strategik antara JTM dan KPM. – The Capital Post