Kesilapan Kru Punca Nahas Pesawat Presiden Poland

Estimate Reading Time: 2 minutes

MOSCOW, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kesilapan kru penerbangan dikenal pasti sebagai punca nahas pesawat yang membawa Presiden Poland ketika itu, Lech Kaczynski, berhampiran Smolensk, Rusia pada 2010, menurut hasil siasatan pasukan pakar antarabangsa.

Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Negara Poland, Przemyslaw Nowak, berkata pakar mengaitkan nahas itu dengan beberapa kejadian yang berlaku ketika proses pendaratan pesawat jenis Tu-154 berkenaan.

Beliau berkata, antara faktor dikenal pasti ialah pendekatan pendaratan yang tidak stabil, penilaian tidak tepat terhadap altitud sebenar pesawat serta tindakan meneruskan penurunan melepasi had minimum keselamatan.

Selain itu, keputusan untuk membatalkan pendaratan dan melakukan olah gerak menaikkan semula pesawat dibuat terlalu lewat.

“Pakar mendapati olah gerak penurunan pesawat dimulakan terlalu lewat, menyebabkan pesawat kehilangan altitud pada kadar yang terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.

Nowak berkata siasatan melibatkan puluhan pakar yang mengambil masa bertahun-tahun untuk meneliti punca nahas berkenaan.

Laporan akhir disediakan oleh pasukan antara disiplin antarabangsa yang dianggotai 22 pakar dan ditubuhkan tujuh tahun lalu.

Menurut beliau, pasukan itu menjalankan tugas selama lima tahun sebelum memuktamadkan kesimpulan pada Ogos 2024.

Pihak pendakwa raya kemudian mendapatkan terjemahan laporan berkenaan dalam bahasa Poland, sebelum mendapati kandungannya tidak lengkap dan kurang jelas.

Susulan itu, pihak pendakwa raya meminta laporan tersebut diperincikan serta mengemukakan 66 soalan kepada pasukan pakar.

Laporan tambahan diserahkan pada Mei tahun ini. Selepas diterjemahkan dan dianalisis, pihak pendakwa raya menyimpulkan bahawa laporan berkenaan secara keseluruhannya lengkap dan jelas.

Nahas pesawat Tu-154 itu mengorbankan kesemua 96 individu di dalamnya, termasuk 88 penumpang dan lapan kru.

Ketika kejadian, Kaczynski bersama delegasinya dalam perjalanan menghadiri upacara memperingati pegawai tentera Poland yang dihukum mati di Katyn, berhampiran Smolensk, pada 1940.

Sebelum ini, Jawatankuasa Penerbangan Antara Negara (IAC) menyimpulkan bahawa punca langsung nahas ialah keputusan kru untuk tidak mengalihkan pesawat ke lapangan terbang alternatif walaupun keadaan berkabus.

Laporan itu turut mengenal pasti kelemahan sistemik dalam latihan juruterbang yang ditugaskan dalam unit penerbangan presiden.

Suruhanjaya siasatan awal Poland yang diketuai bekas Menteri Dalam Negeri, Jerzy Miller, turut mencapai kesimpulan yang sama. – The Capital Post