PRS Bestari Generasi Madani Perkasa Kepimpinan Pelajar

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Simposium Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Tahap Bestari Generasi Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 berlangsung selama tiga hari dari 17 hingga 19 Ogos lalu di Ayer Keroh D’Village, Melaka, dengan penyertaan wakil pelajar dan warga pendidikan dari seluruh negara.

Kontinjen Selangor yang menyertai simposium tersebut terdiri daripada seorang pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dua guru pengiring serta lapan orang ahli PRS sekolah menengah. Penyertaan itu menjadi platform kepada para pelajar untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan interaksi sosial.

Dalam simposium berkenaan, Nurfatihah binti Wan Ali dari SMK Convent (M) Kajang menerima Anugerah Permata Empati sebagai pengiktirafan terhadap nilai empati dan keupayaannya dalam menyantuni serta membantu rakan sebaya.

Kontinjen Selangor turut mencatat pencapaian apabila berjaya menduduki tempat kelima dalam Persembahan Malam Kebudayaan Simposium Pembimbing Rakan Sebaya Tahap Bestari Generasi Madani Tahun 2026.

-Advertisement-

PRS Bestari merupakan tahap pengiktirafan dan pensijilan tertinggi bagi ahli Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan asas kaunseling bagi membentuk pelajar yang mampu menjadi pembimbing rakan sebaya secara positif dan berkesan.

Pelaksanaan program tersebut turut menyokong usaha membentuk generasi pelajar yang lebih prihatin, berkeyakinan dan mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti sekolah selaras dengan aspirasi Malaysia.

Dengan membawa slogan “Menyantuni Jiwa, Menginspirasikan Insan Sejahtera”, PRS Bestari terus menjadi wadah dalam melahirkan generasi muda yang mampu menjadi sumber sokongan kepada rakan sebaya serta penggerak nilai positif dalam persekitaran pendidikan – The Capital Post