NEGERI SEMBILAN 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Program Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Tengah berjaya menghimpunkan seramai 1,959 peserta secara fizikal di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, melibatkan penyertaan dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, hadir merasmikan program tersebut yang menjadi antara platform bagi memperkenalkan sains, teknologi dan inovasi (STI) kepada generasi muda melalui pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dan menyeronokkan.
Dalam ucapan perasmian, beliau berkata penganjuran Malaysia Techlympics memberi penekanan kepada kaedah pembelajaran secara amali atau hands-on serta pengalaman secara tidak formal, khususnya dalam kalangan murid, pelajar dan golongan belia.
Inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut menyasarkan usaha meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Elemen pertandingan yang interaktif dan menyeronokkan pula memberi ruang kepada peserta untuk mengembangkan kreativiti serta menghasilkan idea baharu dan inovatif.
-Advertisement-
Program tersebut turut mengetengahkan perkembangan teknologi semasa melalui pendedahan kepada bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran dan teknologi dron.
Pendekatan berkenaan dilihat semakin penting susulan perkembangan pesat teknologi digital, khususnya AI, yang kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai sektor serta kehidupan seharian.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2026 Zon Tengah sekali gus memperlihatkan komitmen MOSTI untuk terus memperkukuh budaya STI dalam kalangan generasi muda serta menyediakan ruang pembelajaran yang dapat membina kemahiran, kreativiti dan daya inovasi mereka bagi menghadapi keperluan masa hadapan – The Capital Post