Dua Bekas Pegawai Kanan Dibawa Ke Mahkamah Dalam Siasatan RCI Tabung Haji

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Dua bekas pegawai kanan kerajaan, masing-masing bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 9.30 pagi tadi bagi prosiding permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua individu berkenaan ditahan SPRM kira-kira 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan berkaitan dapatan serta isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Siasatan tersebut melibatkan pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh antara 2014 hingga 2020, termasuk beberapa dakwaan berkaitan rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Tindakan SPRM itu merupakan sebahagian daripada siasatan susulan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI berhubung pengurusan institusi tersebut sepanjang tempoh berkenaan.

-Advertisement-

Sebelum ini, tujuh individu turut ditahan SPRM pada 21 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes yang sama.

Prosiding permohonan reman terhadap kedua-dua individu berkenaan dijalankan bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan terhadap dakwaan dan isu yang berkaitan – The Capital Post