Sabah Electricity Teruskan Pemasangan Menara ERS Walaupun Bergelap

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Keadaan gelap pada waktu malam tidak menghalang pasukan teknikal Sabah Electricity meneruskan kerja pemasangan menara sementara menggunakan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Ranau.

Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan kerja pemasangan fasa kedua yang dilaksanakan malam tadi melibatkan pemasangan bahagian atas menara, sebelum kerja pemasangan kabel dilakukan selepas struktur berkenaan dipastikan kukuh.

Menurut kenyataan itu, fasa kedua dimulakan selepas kerja pemasangan fasa pertama, termasuk pemasangan sistem penambat dan tapak menara, selesai pada 6.28 petang.

Sabah Electricity berkata kerja pemulihan berjalan mengikut garis masa yang dirancang walaupun hujan ringan berlaku di lokasi, dengan keselamatan anggota kerja terus menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan.

Pihaknya turut menggembleng segala tenaga, kepakaran dan sumber yang ada bagi memastikan setiap peringkat kerja dilaksanakan dengan teliti serta mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan.

-Advertisement-

Kejadian menara penghantaran elektrik runtuh pada 6.04 pagi Khamis mengakibatkan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan yang menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.

Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik dapat dipulihkan pada Selasa ini atau lebih awal, bergantung kepada perkembangan kerja pemulihan di lokasi.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444 dan 088-515000. Pertanyaan juga boleh disalurkan melalui WhatsApp di 019-8525427. – The Capital Post