KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – CIMB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan menaikkan harga sasaran saham syarikat utiliti itu kepada RM15.20 daripada RM12.50 sebelum ini.
Dalam nota penyelidikan, CIMB menjangkakan pendapatan sesaham (EPS) teras TNB meningkat pada suku keempat 2026 berbanding suku sebelumnya, disokong pertumbuhan asas aset terkawal (RAB) serta kadar cukai efektif (ETR) yang lebih rendah.
Menurut bank pelaburan itu, pemangkin utama kepada penilaian semula berkenaan ialah prospek pertumbuhan keuntungan bersih teras yang kukuh bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, didorong oleh perkembangan RAB yang teguh.
Bagaimanapun, risiko utama yang boleh menjejaskan unjuran itu termasuk perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan serta perbelanjaan modal (capex) luar jangka yang lebih rendah daripada jangkaan.
CIMB turut menyorot peningkatan permintaan bekalan elektrik daripada sektor pusat data yang terus berkembang.
Sehingga akhir September 2026, TNB membekalkan elektrik kepada 55 pusat data berbanding 42 pusat data pada akhir Jun tahun sama, dengan jumlah permintaan maksimum meningkat kepada 6.1 gigawatt (GW) daripada 5.7 GW.
Jumlah kumulatif permintaan maksimum (TMD) di bawah perjanjian bekalan elektrik (ESA) yang dimeterai bersama 73 pusat data pula mencapai 9.7 GW setakat September 2026, berbanding 4.5 GW pada akhir suku keempat 2025.
Momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan dengan 44 lagi projek pusat data dalam perancangan, menjadikan jumlah keseluruhan 117 pusat data.
Projek berkenaan dijangka menambah 13.8 GW kepada permintaan maksimum pusat data, sekali gus meningkatkan jumlah kumulatif TMD kepada 23.5 GW.
Pengendali dari Amerika Syarikat merangkumi 29 peratus daripada pusat data yang telah menandatangani ESA dengan TNB, bersamaan 39 peratus dari segi kapasiti.
-Advertisement-
PERBELANJAAN MODAL TNB
Sementara itu, TNB melaporkan perbelanjaan modal terkawal bagi suku ketiga 2026 berjumlah RM3.5 bilion, merangkumi capex asas sebanyak RM2.8 bilion, meningkat lapan peratus berbanding suku sebelumnya.
Capex kontingen pula berjumlah RM760 juta, meningkat 41 peratus berbanding suku kedua tahun ini.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, capex kontingen mencatatkan RM1.5 bilion, manakala TNB menjangkakan jumlah perbelanjaan bagi keseluruhan tahun mencecah RM2.4 bilion.
Unjuran itu membayangkan perbelanjaan sebanyak RM900 juta pada suku keempat 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, TNB dijadual mengemukakan cadangan bagi Tempoh Kawal Selia 5 (2028 hingga 2030) kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) bulan depan.
Selepas penyerahan itu, perbincangan akan diadakan sebelum cadangan yang disemak semula dikemukakan kepada ST pada September 2027.
Keputusan muktamad bagi tempoh kawal selia berkenaan dijangka dibuat pada Disember 2027. – The Capital Post