KUALA LUMPUR 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Hari kedua National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 dimulakan dengan sesi dialog peringkat menteri yang membincangkan usaha menterjemahkan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara kepada pengkomersialan, peluang keusahawanan serta pertumbuhan ekonomi.
Sesi Ministerial Dialogue bertajuk “From R&D to Revenue: Turning Malaysia’s Innovation Investments Into Entrepreneur Wins” menampilkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong; serta Puan Tehmina Kaoosji, Independent Broadcast Journalist, Partner & Communications Director, The Big Picture (TBP) Communications sebagai moderator.
Dalam sesi berkenaan, Menteri MOSTI menekankan pendekatan whole-of-government melalui NICE 2026 bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara. Pendekatan itu melibatkan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kerjasama strategik antara kementerian tersebut bertujuan memastikan pelaburan dalam R&D tidak terhenti pada peringkat penyelidikan, sebaliknya dapat diteruskan sehingga menghasilkan produk, peluang perniagaan, penerimagunaan teknologi dan impak ekonomi yang lebih jelas.
Sementara itu, YB Steven Sim berkata KUSKOP menerusi Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan berjumlah RM15 bilion bagi pembiayaan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), termasuk syarikat pemula serta koperasi.
-Advertisement-
Menurut beliau, penyediaan pembiayaan tersebut bukan sahaja bertujuan memperluas akses modal kepada usahawan, malah memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk memulakan, mengembangkan dan meningkatkan skala perniagaan.
KUSKOP turut memberi perhatian kepada pembangunan produk serta model perniagaan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat, mempunyai daya tahan jangka panjang dan berpotensi menembusi pasaran lebih besar, termasuk di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, usaha memudahkan proses permohonan dan akses pembiayaan akan terus diperkemas supaya bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih cekap serta memenuhi keperluan usahawan mengikut tahap perkembangan perniagaan masing-masing.
Dialog tersebut memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam merapatkan rantaian antara R&D, inovasi, pengkomersialan dan pasaran, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada inovator serta usahawan tempatan untuk mengembangkan produk dan perniagaan ke peringkat global – The Capital Post