Pemimpin Tertinggi MIC Didakwa SPRM Esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 (The Capital Post) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang bekas menteri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat ini (Esok, 28 Ogos 2026) selepas memperolehi kelulusan pendakwaan.

Menurut jemputan media yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategik SPRM hari ini, prosiding pertuduhan itu dijadual berlangsung pada jam 9 pagi, 28 Ogos, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan melibatkan seorang orang kena tuduh (OKT).

Difahamkan, bekas menteri yang juga merupakan seorang pemimpin tertinggi Parti Kongres India Malaysia (MIC) itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

-Advertisement-

Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan meminta, menerima, memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan secara rasuah. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai pertuduhan dan fakta kes dijangka hanya akan didedahkan sebaik prosiding mahkamah bermula.

Kes berprofil tinggi itu dijangka mendapat perhatian ramai memandangkan ia melibatkan seorang bekas anggota Kabinet dan pemimpin kanan sebuah parti komponen yang pernah menganggotai kerajaan. – The Capital Post