KOTA KINABALU, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 481 pendatang tanpa izin ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan asing yang dilaksanakan semalam.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 419 orang, diikuti Indonesia (50), Pakistan (11) dan Taiwan (seorang).
Menurut kenyataan itu, penghantaran pulang warga Filipina dilaksanakan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Kesemua individu yang dihantar pulang terdiri daripada 273 lelaki, 102 wanita, 24 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan, berusia antara lima bulan hingga 62 tahun.
Sementara itu, seramai 50 warga Indonesia dihantar pulang dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
-Advertisement-
Kumpulan berkenaan melibatkan 36 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak perempuan yang diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Selain itu, 11 tahanan yang terdiri daripada 10 warga Pakistan dan seorang warga Taiwan dihantar pulang dari Depot Imigresen Sandakan menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.
JIM Sabah turut memaklumkan sebanyak 221 siri program pemindahan telah dilaksanakan setakat ini, membabitkan penghantaran pulang 10,498 pendatang tanpa izin ke negara asal masing-masing. – The Capital Post