FRIM Sambut Konvoi Kembara Merdeka NRES

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPONG 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerima kunjungan Konvoi Kembara Merdeka Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sempena Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat NRES Tahun 2026 pada 24 Ogos lalu.

Konvoi tersebut melibatkan 16 buah kenderaan dengan penyertaan seramai 85 warga NRES serta jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan. Ketibaan rombongan disambut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, Mahmudin Saleh.

Dalam acara simbolik berkenaan, Mahmudin turut menerima bendera konvoi selepas menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para peserta yang hadir ke FRIM.

Sepanjang kunjungan, peserta berpeluang menerokai kawasan semula jadi FRIM menerusi lawatan ke Jejantas Rimba atau Forest Skywalk serta menyusuri denai alam sekitar.

-Advertisement-

Rombongan turut diberikan pendedahan mengenai fenomena malu-malu silara atau crown shyness, iaitu keadaan semula jadi apabila bahagian kanopi pokok kelihatan membentuk ruang antara satu sama lain.

Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat NRES turut diserikan dengan kehadiran Menteri NRES, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri NRES, YB Tuan Syed Ibrahim Syed; Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.

Kunjungan tersebut bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan, malah membuka ruang kepada warga NRES untuk menghayati khazanah alam dan kepentingan pemeliharaan hutan melalui pengalaman secara langsung di FRIM – The Capital Post