Boustead Holdings Semarak Patriotisme Sempena Bulan Kebangsaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Boustead Holdings Berhad (BHB) menyertai Majlis Peluncuran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Dataran Wisma Pertahanan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), YBhg. Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin; Ketua Eksekutif LTAT, YBhg. Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi serta barisan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara kepimpinan ATM yang hadir termasuk Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Laut.

BHB turut diwakili Pengerusinya, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Haji Abdul Aziz Haji Zainal (B), serta Pengarah Urusan Kumpulan BHB, YBhg. Kol. Dato’ Indera Ir. Dr. Haji Ahmad Sabirin Arshad, FASc. Seramai 30 warga kerja BHB turut menyertai kumpulan perarakan kontinjen Merdeka Kementerian Pertahanan.

Penyertaan dalam perarakan tersebut bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, selain memperkukuh nilai perpaduan, kebersamaan serta kerjasama berpasukan dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

-Advertisement-

Penglibatan BHB turut mencerminkan komitmen berterusan kumpulan tersebut dalam menghargai pengorbanan anggota keselamatan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara keamanan, keharmonian dan kedaulatan Malaysia.

Sambutan Bulan Kebangsaan menjadi ruang untuk seluruh rakyat menzahirkan rasa bangga terhadap identiti negara serta menghayati nilai perpaduan yang menjadi asas kepada kesejahteraan Malaysia.

Semangat mengibarkan Jalur Gemilang diharap terus disemarakkan dalam kalangan masyarakat sebagai tanda kecintaan dan kebanggaan terhadap negara – The Capital Post