SEREMBAN, 30 Ogos 2026 (The Capital Post) – Festival Kejuaraan Silat Seni Peringkat Kebangsaan 2026 Piala Imam Khalifah PSSGMK Negeri Sembilan menghimpunkan 450 peserta dari seluruh negara dalam usaha memperkasa seni silat sebagai warisan budaya bangsa.
Dato’ Mohd Faizal Ramli berkata, beliau berkesempatan menghadiri dan merasmikan festival tersebut yang melibatkan pesilat daripada pelbagai peringkat usia.
Menurut beliau, penganjuran festival berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam seni persilatan, malah turut memainkan peranan dalam memelihara serta mengembangkan warisan seni silat untuk generasi akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, jurulatih, peserta dan semua pihak yang menjayakan festival berkenaan, selain mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya dalam pertandingan.
-Advertisement-
Pada masa sama, beliau menyeru peserta yang belum mencapai kejayaan supaya terus berusaha dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi pada masa akan datang.
Beliau berharap seni silat terus berkembang sebagai wadah pembentukan generasi muda yang berdisiplin, berani, berakhlak serta mempunyai kecintaan terhadap warisan bangsa. – The Capital Post