KPM Utamakan Sekolah Paling Memerlukan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 2 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi keutamaan kepada sekolah yang paling memerlukan dalam penyaluran peruntukan tambahan penyelenggaraan sebanyak RM500 juta bagi tahun 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan berkenaan perlu digunakan secara berkesan bagi memastikan setiap perbelanjaan benar-benar menyelesaikan masalah yang dihadapi sekolah, bukan sekadar diagihkan tanpa mengambil kira keperluan sebenar.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat susulan berhubung pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan tambahan tersebut.

Menurut Fadhlina, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah diarahkan menggerakkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk turun padang, bertemu pihak sekolah serta menilai sendiri keadaan dan keperluan yang paling mendesak.

-Advertisement-

Pada masa sama, Ketua Setiausaha KPM turut diminta menyediakan saluran khas bagi warga sekolah, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), untuk mengemukakan senarai keperluan atau wishlist sekolah kepada kementerian untuk pertimbangan.

Fadhlina berkata, keperluan sekolah tidak semestinya melibatkan projek berskala besar, sebaliknya boleh merangkumi pembaikan tandas, bumbung bocor, pendawaian lama dan kemudahan asas yang memerlukan perhatian.

Beliau menegaskan pendekatan turun padang penting bagi memastikan suara warga sekolah diambil kira dan peruntukan penyelenggaraan 2027 dapat disalurkan kepada sekolah yang benar-benar memerlukan. – The Capital Post