Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Sah, Dakwa Chegubard

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN, 6 September 2026 (The Capital Post) – Aktivis politikChegubard mendakwa Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Yang Empat Negeri Sembilan telah mengumumkan satu Surat Cara Proklamasi di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menegaskan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan negeri.

Menurut hantaran dimuatnaik Chegubard di Facebook pada Sabtu, pengumuman itu dibuat menerusi Sidang Khas dan Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 bertarikh 5 September 2026 yang didakwa ditandatangani oleh YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak (Undang Luak Sungai Ujong), YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad (Undang Luak Jelebu), YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Mohammed bin Abdullah (Undang Luak Johol), YTM Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin (Undang Luak Rembau), YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri (Tunku Besar Tampin) serta YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin bin Mohd Khalid (Dato’ Shahbandar Sungai Ujong).

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan, proklamasi itu mendakwa Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, bersama para Pembesar Memerintah Negeri Sembilan telah menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos 2026 bagi memperkenankan beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dokumen itu turut mendakwa Menteri Besar telah melengkapkan kewajipan perlembagaan berkenaan dengan menandatangani proklamasi tersebut di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan dan tetamu yang hadir.

Menurut proklamasi berkenaan, kesemua YTM Undang Yang Empat telah menandatangani dokumen di bawah Perkara 10(2) serta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April 2026 bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.

-Advertisement-

Dokumen itu juga mendakwa Tuanku Muhriz tidak pernah mencabar kesempurnaan penurunan takhta baginda di mahkamah mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Selain itu, proklamasi berkenaan turut mendakwa Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang diadakan pada 31 Julai 2026 adalah tidak sah kerana dipanggil oleh bekas Yang di-Pertuan Besar tanpa kehadiran Undang Yang Empat yang diiktiraf mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain tidak dihadiri Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.

Sehubungan itu, dokumen tersebut mendakwa kesepakatan Undang Yang Empat untuk melaksanakan prerogatif di bawah Perkara 10(2) pada 19 April 2026 adalah sah di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam hantaran sama, Cikgu Bard berkata kenyataan media itu turut menuntut pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh jentera pentadbiran negeri, supaya mematuhi proklamasi tersebut dengan serta-merta.

The Capital Post sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak berkaitan berhubung dakwaan yang terkandung dalam dokumen tersebut. – The Capital Post.