PUTRAJAYA, 8 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 27 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima tajaan yuran pengajian daripada 18 universiti awam (UA) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar selain memastikan mereka berpeluang meneruskan pengajian tinggi tanpa dibatasi kekangan kewangan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata tajaan tersebut merupakan bentuk penghargaan terhadap pencapaian cemerlang penerima dalam peperiksaan STPM 2025, selain menjadi sokongan kepada potensi mereka untuk membina masa depan dalam bidang pilihan masing-masing.
Beliau berkata peluang pendidikan tinggi perlu terus dibuka kepada semua anak Malaysia tanpa mengira latar belakang, termasuk dengan memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar berprestasi tinggi.
“Tajaan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai antara laluan penting dalam meningkatkan mobiliti sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 di sini pada 7 September 2026.
Daripada keseluruhan penerima, Universiti Malaya (UM) menaja enam pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat pelajar, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing menaja dua pelajar. Sebanyak 14 UA lain pula masing-masing menaja seorang pelajar.
-Advertisement-
Menurut Dr. Zambry, tajaan berkenaan melibatkan pelbagai bidang pengajian termasuk bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan pendidikan yang mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga berkemahiran negara.
Beliau turut menyeru penerima agar menggunakan peluang berada di universiti untuk memperkukuh ilmu, kemahiran, kepimpinan dan pengalaman, di samping mengekalkan nilai integriti, kemanusiaan serta tanggungjawab kepada masyarakat.
Beliau berharap kejayaan yang dicapai penerima kelak dapat diteruskan dengan usaha membantu dan membuka peluang kepada generasi lain untuk turut menikmati manfaat pendidikan tinggi.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan pegawai kanan KPT, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta kepimpinan Majlis Peperiksaan Malaysia. – The Capital Post