Anwar Seru Peserta Bahas Berhujah Dengan Beradab

Estimate Reading Time: < 1 minute

CYBERJAYA, 10 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Edisi Ke-51 supaya berani menyuarakan pandangan dengan tegas, namun kekal beradab serta menghormati perbezaan pendapat.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau berkesempatan bertemu dan meraikan para peserta selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, menjelang pertandingan akhir yang dijadualkan berlangsung esok di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Menurut beliau, pertandingan yang telah berlangsung lebih lima dekad itu merupakan antara warisan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam membentuk generasi muda yang berani, berilmu serta mempunyai keupayaan berhujah secara matang.

Anwar berkata pertandingan tersebut bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi ruang untuk golongan muda belajar menyusun pemikiran, mempertahankan pendirian dan pada masa sama menghormati pandangan yang berbeza.

-Advertisement-

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap peserta yang disifatkan peka terhadap perkembangan semasa, berani mengemukakan persoalan serta kritis dalam menilai pelbagai isu.

Anwar dalam pesanan kepada peserta turut menekankan kepentingan berbahas tanpa kebencian dan berbeza pandangan tanpa permusuhan, sambil menyifatkan demokrasi yang sihat bukan hanya memerlukan keberanian untuk bersuara, tetapi juga kesediaan mendengar serta menghormati perbezaan. – The Capital Post