KUCHING 18 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memantau keadaan jerebu di Sarawak termasuk memastikan keperluan perlindungan kesihatan warga sekolah tersedia sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat.
Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata beliau sempat meninjau proses pengagihan pelitup muka kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat keadaan jerebu ketika berada di Kuching.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas sumbangan pelitup muka berkenaan dengan kerjasama KPM serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak demi menjaga kebajikan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Menurut beliau, pemantauan bacaan IPU akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diambil mengikut perkembangan keadaan jerebu.
Beliau menjelaskan sekiranya bacaan IPU melebihi 100, aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan, manakala sekolah akan ditutup apabila bacaan melebihi 200.
-Advertisement-
YB Fadhlina turut memuji Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah yang setakat ini menguruskan situasi jerebu dengan baik.
Katanya, bacaan IPU boleh berubah pada bila-bila masa, justeru pemantauan berterusan amat penting bagi membolehkan tindakan diambil berdasarkan keadaan semasa.
Beliau menegaskan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta seluruh warga sekolah kekal menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi jerebu – The Capital Post