KUALA LUMPUR 18 September 2026 (The Capital Post) – DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid memulakan tugas rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN) yang baharu di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, hari ini.
Beliau tiba di pintu masuk utama Bukit Aman kira-kira jam 8.00 pagi dan menerima istiadat “Guard Turn Out” oleh anggota Cawangan Kem Komandan sebagai tanda sambutan rasmi kepada Timbalan KPN baharu.
Ketibaan beliau kemudiannya disambut oleh Setiausaha Polis Malaysia, DCP Mohamad Mashdik Yahya sebelum diiringi ke pejabat rasmi beliau.
Majlis bacaan doa selamat turut diadakan dan dipimpin oleh Ustaz Abdul Rahman Hj. Morsalin dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi memohon keberkatan serta kelancaran buat Dato’ Sri Abdul Aziz dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab baharu.
-Advertisement-
Dato’ Sri Abdul Aziz sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Pengurusan PDRM sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN baharu, dengan pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 9 September lalu.
Pelantikan itu menandakan bermulanya tanggungjawab rasmi beliau dalam menerajui kepimpinan tertinggi PDRM bersama barisan pengurusan pasukan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan tugas dan amanah kepolisan negara – The Capital Post