Pemandu Lori Tersepit Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Berat Di PLUS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR 18 September 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan pada kaki selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Kilometer 257.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 pagi.

Kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori bonded Hino, lori bonded Isuzu dan sebuah lori treler jenis Volvo. Dua lagi pemandu lelaki masing-masing berusia 59 dan 33 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Kuala Kangsar segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

-Advertisement-

Ketua operasi terlebih dahulu menjalankan penilaian keadaan di lokasi sebelum menggunakan konsep SAVER dalam merangka tindakan menyelamat. Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan Hydraulic Rescue Tools bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut.

Operasi turut melibatkan tujuh anggota bomba, enam anggota PDRM, tiga petugas KKM serta lapan kakitangan PLUS. Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 10.30 pagi sebelum ditamatkan pada jam 10.54 pagi – The Capital Post